Masalah Aqidah

Julai 18, 2007

Dipetik daripada laman web surau.ladang.net (uztaz Azahar) 

Tajuk: Mengebumikan Org Islam Yg Bunuh Diri.

Soalan:

assalamualaikum…

ustaz,saya dan kawan pernah berselisih pendapat mengenai cara mengebumikan org islam yg bunuh diri.adakah mayat org islam yg bunuh diri boleh dikuburkan dalam kawasan yg sama dgn kubur org islam yg lain?atau diasingkan dr kwsn kubur org islam?wassalam…

Jawapan:

Mayat orang Islam yang membunuh diri ditanam pada perkuburan orang Islam jika dia tidak menghalalkan perbuatannya itu kerana membunuh diri tidak menjadikan seorang itu murtad cuma janganlah disembahyangkan dan dihantar ke kubur dengan beramai-ramai. Memada yang demikian itu seorang dua yang melepaskan tuntutan fardhu kifayah.

wallahua’lam

La Tahzan(Jangan bersedih)

Julai 17, 2007

La Tahzan adalah buku karangan Dr Aidh Al Qarni merupakan buku yang terlaris dipasaran yang sepatutnya  dimiliki oleh setiap keluarga muslim yang dahagakan ilmu dan bimbingan hidup.

Buku yang diterjemahkan oleh Yusof Al Kastani yang dicetak oleh pustaka ILMI mengandugi 566 mukasurat.

Saya akan terangkan dalam blog saya ini seberapa ringkas mengenai sebahagian kupasan tajuk yang disediakan untuk santapan individu,keluarga dan masyarakat oleh Dr Aidh Al Qarni.

Apa yang akan saya tulis adalah hasil daripada kefahaman saya setelah membaca buku LA TAHZAN….Faham saya mungkin tak sama dengan faham anda…harap kepada yang telah membaca buku ini leh komen dan memperbetulkan jika kefahaman saya kurang tepat atau lari daripada maksud yang ingin disampaikan oleh penulis asalnya.

1)Yang Berlalu Biarlah Berlalu

Mengingati masa yang lalu dan bersedih dengannya merupakan suatu kebodohan dan bersikap gila.Selalu mengingati masa yang lepas adalah sebuah pembunuhan terhadap sebuah cita-cita.File masa yang lalu bagi orang yang  cerdik biasanya dilipat dan tidak diceritakan.Masa yang lalu ditutup dan dikunci rapat dalam peti lupa,sebab ianya sudah berlalu dan telah berakhir.

Selayaknya umat manusia tidak perlu menoleh kebelakang ..hembusan agin ke hadapan,rombongan kafilah bergerak kedepan..oleh itu janganlah menyalahi sunah kehidupan.

Allah telah menyebut dan menceritakan apa yang telah berlaku kepada kaum kaum terdahulu seperti dibawah

Allah s.w.t telah berfirman (Al-Baqarah:141)

Yang maksudnya berbunyi:

“Itu adalah umat yang lalu”

Kita sering terlena dengan istana istana indah dan menangisi keruntuhan yang telah berlaku.Ingatlah jika manusia dan jin dikumpulkan untuk mengembalikan apa yang telah berlalu nescaya gagal dan tidak mampu kerana ianya mustahil.

2)Biarkan Masa Hadapan Datang Sendiri

Allah s.w.t berfirman (Al-Nahl:1) yang bermaksud:

“Telah pasti datang ketetapan Allah maka janganlah kamu meminta agar disegerakan(datang) nya”

Jangan sesekali mendahului peristiwa yang belum terjadi.Adakah anda ingin melahirkan anak sebelum sempurna hamil?Adakah anda ingin memetik buah sebelum tiba masak?

Mengapa kita perlu sibuk untuk hari esok,mengapa kita berasa bimbang terhadap malapetaka ,peristiwa hari esok sedangkan kita belum tentu menjumpai hari esok.

Apa yang amat penting ditanam dalam fikiran kita ialah hari esok masih lagi dalam alam ghaib.Memberi peluang yang luas kepada akal fikiran untuk memikirkan masa hadapan dengan seolah kita membiarkan diri kita dibawah pengaruh panjang angan-angan.

Sesunguhnya ianya tindakan yang dimurkai oleh hukum syariat.Meramalkan suatu yang bakal terjadi pada masa hadapan adalah tindakan tercela berdasarkan hukum akal yang sihat.

Kebanyakan dunia sekarang nie asyik berfikir dan berkira pelbagai peristiwa yang bakal berlaku seperti penyakit,bencana kelaparan dan kemiskinan yang menimpa manusia.

Sesunguhnya ia tidak membawa menfaat kepada kita,ia merupakan kajian kajian syaitan sebagaimana :

firman Allah S.W.T (Al-Baqarah:268) yang bermaksud,

Syaitan menjanjikan(menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan(kikir);sedangkan Allah menjanjikan untuk mu ampunan daripadaNya dan kurnia.Dan Allah Maha Luas(kurnia-Nya)lagi Maha Mengentahui”

Jadi janganlah ditunggu hari esok biarlah ia datang sendiri dan sibuklah untuk hari ini dan janganlah sesekali panjang angan -angan dan usah ditanya pasal hari esok.

Solat Taubat

Julai 17, 2007

Sumber daripada blog  http://nurjeehan.wordpress.com/tag/taubat/

Sumber rujukan: Solat Taubat (Panduan Penjernihan Jiwa)
Muhammad Isa Selamat

ALLAH swt sentiasa memerintahkan kita supaya bertaubat, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar.” (At-Tahrim: 8.)

Allah telah membuka pintu harapan kepada hamba-hambaNya: “Katakanlah; wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Az-Zumar: 53)

Syarat-syarat taubat :

  1. Ikhlas ingin bertaubat
  2. Tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu lagi
  3. Menyesal atas perbuatan yang telah dilakukan
  4. Harus mempunyai tekad di dalam hati tidak akan melakukan dosa itu untuk selama-lamanya
  5. Dikerjakan sebelum ajal tiba

Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubat yang dilakukan itu tidaklah sah. Jika dosa berkaitan dengan manusia yang lain, maka syaratnya ditambah lagi, iaitu harus dapat membebaskan diri dari hak orang yang berkaitan. Contohnya jika hal itu berbentuk harta, harus dikembalikan. Jika berbentuk hukuman, ia harus menyerahkan diri mohon dimaafkan. Jika hal berupa cacian dan sebagainya, maka ia harus memohon keredhaannya.

Waktu melaksanakan taubat :

Taubat tidak boleh diundur-undur atau ditunda. Kerana jika demikian ia sangat berbahaya bagi hati manusia. Jika tidak segera menyucikan diri sedikit demi sedikit, maka pengaruh dosa itu akan bertompok-tompok, dan akhirnya akan merosakkan hati sehingga tertutup dari cahaya kebenaran.

Di antara penyebab yang akan membangkitkan jiwa bertaubat seseorang itu adalah jiwa yang selalu mengingati hari kematian dan hidup bersendirian di dalam kubur. Kata-kata mati adalah sesuatu yang sangat menakutkan kebanyakan manusia. Mati beerti berpisah dengan segala yang disayangi atau dicintai. Hari terputusnya segala nikmat. Sedangkan berpisah sebentar sahaja dengan anak atau isteri, dapat mengalirkan air mata kesedihan, apa lagi berpisah untuk selamanya

Firman Allah: “Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati pula.” (Az-Zumar: 30)

Di samping mengingat tentang azab penderitaan yang bakal dihadapi oleh orang-orang yang berdosa mengingat kenikmatan syurga yang bakal ditempati oleh orang-orang yang soleh juga akan dapat membangkitkan keinginan jiwa untuk melakukan taubat dengan segera.

Cara melaksanakan solat taubat :

Cara melaksanakan solat taubat ini sama dengan solat biasa, iaitu setelah berwuduk dengan sempurna, lalu berdiri di tempat yang suci, menghadap kiblat;

  • Waktu di lakukan – bila-bila masa merasa telah berbuat dosa (kecuali waktu makruh tahrim utk melakukan solat)*. Sebaik-baiknya 2/3 malam (pukul 2 pagi ke atas), semasa Qiyamullail
  • Lafaz niat: “Sahaja aku mengerjakan solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”
  • Rakaat pertama membaca (disunatkan membaca doa Iftitah) kemudian surah Al-Fatihah. Selepas itu Ayatul Kursi 11 kali
  • Rakaat kedua membaca surah Al-Fatihah. Selepas itu surah Al-Ikhlas 11 kali
  • Semasa sujud akhir rakaat kedua, ucapkanlah Doa Nabi Yunus sebanyak 40 kali (bersungguh-sungguh di dalam hati memohon keampunan dari Allah Ta’ala),

    027alquran3.gif

    Ertinya: “Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau Ya Allah, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”

  • Selepas salam, perbanyakkan istighfar seperti,

munajat1.jpg

Ertinya: Ampunilah hamba Ya Allah. Tuhan yang Maha Agung. Tiada Tuhan yang lain melainkan hanya Engkau. Dialah Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Perkasa dan hamba bertaubat kepada Engkau ya Allah.

  • dan berdoa dengan Penghulu Istighfar,

penghulu.jpg

Ertinya: “Ya, Allah Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam genggaman-Mu dan di dalam perjanjian setia ( beriman dan taat ) kepada-Mu sekuat mampuku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah ku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau.”

  • Kemudian boleh juga berdoa mengikut luahan hati dan munajat masing-masing ke hadhrat Allah.

 

———————————————————–

*Makruh tahrim – Petikan dari “170 Solat-Solat Sunat”, Abd Rahman Mukhlis, Terbitan Jasmin Enterprise, ms 8-9 ;

Fuqaha Syafi’iyah berpendapat bahawa makruh tahrim hukumnya melaksanakan sembahyang sunat tanpa sebab, dan sembahyang itu dipandang tidak sah jika dilakukan dalam lima waktu berikut:

  1. Selepas sembahyang Subuh yang dilaksanakan secara tunai (bukan sembahyang qadha’), hingga matahari menyingsing sepenggalah.

  2. Ketika matahari terbit hingga menyingsing seperti galah.

  3. Selepas melakukan sembahyang Asar yang dilaksanakan secara tunai sekalipun ia dijamak dengan Zuhur pada waktu Zuhur (jamak taqdim).

  4. Ketika matahari berwarna kuning, hingga terbenam seluruhnya.

  5. Ketika matahari benar-benar berada di atas kepala (di tengah-tengah langit) hingga gelincir ke Barat. Kecuali waktu Istiwa’ (matahari berada di tengah-tengah langit pada hari Jumaat.

Bagaimanapun, jika sembahyang yang dilakukan itu ada sebab yang mendahuluinya seperti sembahyang Tahiyyatul Masjid, walaupun khatib sudah berada di atas mimbar, sembahyang Sunat Wuduk dan sembahyang Sunat Tawaf sebanyak dua rakaat.

Begitu juga sembahyang yang mempunyai waktu terkait (muqayyad), seperti sembahyang Istisqa’ dan sembahyang Gerhana Matahari. Maka hukumnya adalah sah tanpa dimakruhkan, sebab ia terkait dengan turunnya hujan dan terhalangnya cahaya matahari.

Adapun melaksanakan sembahyang sunat ketika bilal qamat adalah makruh tanzih, kecuali ketika qamat sembahyang Jumaat. Sembahyang sunat yang dilakukan ketika bilal sudah qamat pada sembahyang Jumaat adalah haram hukumnya

Sembahyang Dhuha

Julai 17, 2007

Sumber drp Web Mufti Brunai 

Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sendiri ialah sembahyang sunat Dhuha. Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaannya, Antaranya dalam riwayat  Abu Hurairah katanya:-

 

Maksudnya :”Kekasihku Rasullullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat sembahyang Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan”

( Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim )

Dalam riwayat yang lain Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda yang maksudnya :      ” Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah ( sebagai ganti ) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat sembahyang Dhuha .”

( Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim )

Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.”

Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :

“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya aku segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.”

(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)

Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata :

“Aku mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam berkata : “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas”

(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai sepenggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.

Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah bermaksud :”Adalah Nabi Sallallahu ‘alaihi  wasallam bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehendakinya.”

(Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda bermaksud :

Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang tidak lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,”

( Riwayat At-Thabarani )

Manakala surah yang sunat dibaca selepas membaca Faatihah pada rakaat pertama ialah surah as-Syams dan rakaat kedua selepas membaca al-Faatihah disunatkan membaca surah adh-Dhuha.

Adapun niat sembahyang Dhuha ialah :

 

Ertinya : ” Sahaja aku sembahyang sunat Dhuha dua rakaat kerana Allah Taala “

Doa’ sembahyang Dhuha ialah:

 

 

 

 

Maksudnya : ” Ya Allah, bahawasanya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu, kecantikan itu ialah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindungan Mu. Ya Allah jika rezekiku masih diatas langit, turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika ia (dari yang) haram maka sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah, berkat waktu Dhuha, Keagungan, Keindahan, Kekuatan dan Kekuasaan Mu, limpahkanlah kepada hamba-hamba Mu yang saleh .”

 


Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.